Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Bicara@Muzium Selami Sejarah Pasukan Keselamatan Ngah Ibrahim

By 22 Mac 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Nur Afikah Rusly (LMS)/FB Muzium Matang

TAIPING, 22 Mac (Malaysiaaktif) – Muzium Matang terus giat mempromosikan warisan sejarahnya dengan Program Bicara@Muzium yang memfokuskan sejarah pasukan keselamatan Tengku Menteri Ngah Ibrahim dan penubuhan pasukan polis Perak, di sini semalam.

Naib Pengerusi Persatuan Sejarah Malaya Nor Hisham Zulkiflee selaku penceramah memfokuskan tiga aspek Pasukan Keselamatan Ngah Ibrahim iaitu penubuhan dan peranan, persenjataan dan pakaian seragam serta legasi pasukan keselamatan ini.

“Penubuhan pasukan polis Ngah Ibrahim pada ketika itu diketuai oleh Kapten Speedy yang dilantik sebagai pengawal keselamatan.

“Bagi melengkapkan kotanya dengan keselamatan yang ketat, beliau telah meletakkan pengawal keselamatan yang terdiri daripada orang Melayu dan Habsyi selain pasukan bergajah, berkuda dan lembu sebagai alat pengangkutan,” katanya dalam ceramahnya.

Sementara itu, Pengarah Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM) ACP Selamat Sainayune yang turut menyampaikan ceramah menjelaskan sejarah penubuhan dan pentadbiran pasukan polis itu telah menjadi asas kepada penubuhan pasukan polis Perak dan pasukan tentera tanah air.

-ZS-

Tinggalkan komen anda