
Laporan/foto: Siti Nor Syahirah Mohd Hashim (Petaling)
PETALING JAYA, 12 Mac (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Wanita merupakan satu pengiktirafan khas yang diberikan kepada kaum wanita dan juga tanda keperihatinan kerajaan terhadap peranan penting wanita sebagai penggerak utama dalam pelbagai bidang.
Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac setiap tahun, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) telah menganjurkan Sambutan Hari Wanita yang dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Pusat Dagangan NZX Lembah Subang, Petaling Jaya semalam.
Menurut Hannah Yeoh, sambutan ini diadakan untuk menggalakkan penglibatan dan penyertaan kaum wanita dalam aktiviti sukan yang dianjurkan oleh KBS serta tanda penghargaan kepada kaum wanita dalam bidang sukan.
“Semoga tahun ini kita akan lancarkan lebih banyak program untuk golongan wanita,” katanya ketika hadir menyempurnakan Sambutan Hari Wanita.
Peserta program, Nurul Izzah Aqilah, 27, berkata program yang dianjurkan ini sangat bermanfaat dan rasa dihargai sebagai seorang wanita di samping dapat mengamalkan gaya hidup sihat dengan adanya aktiviti senamrobik seperti ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu serta Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Mohd Azhari Mohammad.
-ZS-