Laporan/foto: Nurul Jannah Shamsol Anuar/Syaiful Harif Adnan
KUALA LUMPUR , 12 Mac (Malaysiaaktif) – Lebih 20,000 warga kota membanjiri ruang Stadium Bola Sepak Cheras semalam bagi menghadiri program Selawat & Munajat Perdana yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Program anjuran Pertubuhan Dai Kuala Lumpur (DAIKL) yang berkolaborasi bersama Pejabat Perdana Menteri adalah bertujuan untuk mengajak orang ramai bersama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan negara agar dilindungi daripada musibah serta bencana dan ia sekaligus tanda meraikan kedatangan bulan Ramadan khususnya buat umat Islam di negara ini.
Memartabatkan Malaysia Madani adalah tema yang telah dipilih untuk program ini dan menurut Perdana Menteri ia membawa kepada beberapa aspek.
“Tema Memartabatkan Malaysia Madani adalah satu usaha kerajaan dalam membentuk jiwa rakyat Malaysia supaya lebih menghayati aspek ihsan, rahmah, adil dan amanah dalam kehidupan harian,” ujar Anwar Ibrahim.
Menurut Pengarah Program Selawat dan Munajat Perdana Azizi Ab.Hamid Al Hafiz, penganjuran program ini juga bertujuan untuk mengeratkan silaturahim rakyat Malaysia.
“Selain dapat berkumpul bersama pemimpin negara, rakyat Malaysia juga secara tidak langsung dapat menambahkan ilmu pengetahuan agama dan meningkatkan kecintaan kepada Rasulullah SAW,” ujarnya.
Ustaz Muhamad Muszaki Mohd Ozir, 49, berkata program seumpama ini dapat mendekatkan masyarakat Islam kepada Nabi Muhammad SAW dengan selawat memuji kebesaran Allah dan memahami ajaran Islam dalam kehidupan seharian.
Turut hadir sama, isteri kepada Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail dan beberapa para ulama seperti Sheikh Razak Al Masri, Sheikh Abdul Karim Omar Al-Makki dan Al Habib Ali Zaenal Abidin.
-ZS-