Laporan/foto: Muhammad Fandy Azam (Melaka Tengah)
MELAKA, 6 Mac (Malaysiaaktif) – Keutamaan aduan serta permasalahan setempat kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam mencari jalan penyelesaian merupakan intipati utama kepada penganjuran Program Townhall Hari Bertemu Rakyat anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Hang Tuah Jaya di Pusat Perniagaan Taman Sentosa, di sini kelmarin.
Program yang diketuai Timbalan Menteri Belia Dan Sukan Merangkap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli ini merupakan satu konsep perbincangan dan komunikasi dua hala antara pihak PBT serta agensi terlibat dalam menyelesaikan satu perkara.
Menurut Adam Adli, fokus utama pada ketika ini adalah membentuk satu jaringan dan peluang antara pihak kerajaan dan rakyat menyalur sebarang aduan atau permasalahan di peringkat akar umbi untuk ditangani segera.
“Pihak kami telah menjadikan program ini sebagai satu platform yang penting kepada sesiapa sahaja terutama masyarakat di Parlimen Hang Tuah Jaya untuk bertemu dengan wakil rakyat dalam mengupas isu-isu yang hangat diperkatakan selain menjadikan rakyat setempat sebagai pengerak utama kepada pihak kerajaan,” katanya dalam sesi soal jawab bersama penduduk setempat.
-ZS-