Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 16 Apr (Malaysiaaktif) – 15 jenis barangan dijual pada harga yang rendah dan menjimatkan dalam Jualan RAHMAH peringkat Labuan bermula 15 April hingga hari ini.
Menurut kenyataan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan, Jualan RAHMAH melibatkan dua buah pasar raya iaitu Bataras Hypermarket Batu Arang dan Family Mart Shopping Mart.
“Program Jualan RAHMAH ini merupakan salah satu daripada inisiatif Payung RAHMAH dibawah KPDN bertujuan untuk membolehkan orang ramai mendapatkan barangan keperluan dengan harga yang lebih murah dari harga pasaran,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL), Rithuan Mohd Ismail, berkata inisiatif tersebut sangat diperlukan dalam mengurangkan bebanan masyarakat dalam membuat persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan melalui KPDN yang mana kerajaan membelanjakan lebih kurang RM40,000 untuk program selama dua hari ini membuktikan kerajaan cakna dengan keperluan rakyat,” katanya yang ditemui media selepas membuat tinjauan pelaksanaan program itu di sini semalam.
Antara barangan yang terlibat dalam Jualan RAHMAH adalah bawang, gula, susu manis, ikan, ayam, beras dan tepung gandum.
Rithuan turut berkesempatan melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2023 yang melibatkan 20 jenis barangan seperti daging kerbau import India, ikan kembung, tomato, cili merah, kacang panjang, bawang besar dan kelapa parut.
-ZS-