Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)
SEGAMAT, 13 Apr (Malaysiaaktif) – Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Segamat bersama Pejabat Daerah Segamat telah melaksanakan Program Kurniaan Bantuan Wang Tunai Dan Pek Makanan Oleh DYMM Permaisuri Johor Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023 yang dijalankan serentak semua mukim di sini, semalam.
Pengerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah telah berkenan untuk mengurniakan bantuan berupa wang tunai RM200 dan pek makanan kepada 50 buah keluarga bagi setiap daerah, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 500 penerima bagi seluruh negeri Johor.
Kurniaan ini adalah bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi dan bertujuan untuk membantu mengurangkan beban kewangan penerima.
Pengerusi Puspanita Segamat Nurulasliza Salim, bersama rombongan yang diketuai oleh Pegawai Daerah Segamat telah membuat penyerahan terus bagi mukim Gemereh kepada 5 orang penerima berupa pek makanan dan wang tunai.
Suraya Mad Nor, 50, seorang ibu tunggal mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Daerah Segamat yang sudi datang membawa barangan dapur serta wang tunai bagi keperluan seharian dan menyambut Hari Raya Aidilfitri bakal tiba tidak beberapa lama lagi.
Jumlah penerima bantuan pada kali ini seramai 50 orang penerima yang melibatkan mukim Pogoh, mukim Sungai Segamat, mukim Jementah, mukim Gemereh, mukim Jabi, mukim Labis, mukim Chaah, mukim Bekok, mukim Gemas, mukim Buloh Kasap dan mukim Sermin.
Turut hadir Pegawai Daerah Segamat Mohd Masni Wakiman, Penghulu Mukim Gemereh Nur Shah Afendi Asmun, Ketua Kampung Batu Badak Abdul Manap Munaji serta petugas Pejabat Daerah Segamat.
-ZS-