
Laporan/foto: Muhamad Hafizuddin Abdul Halim/Rajeswari Anbazagan
KUALA LUMPUR, 15 Apr (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil telah melancarkan Pakej Perpaduan Projek Perumahan Rakyat (PPR)/ Perumahan Awam (PA)@MyKabel di Dataran PPR Kerinchi, di sini semalam.
Menurut Fahmi, Pakej Perpaduan ini bakal memberi manfaat kepada 40,000 unit rumah PPR di empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor.
PPR yang terlibat ialah PPR Kampung Baru Hicom, PPR Kota Damansara, PPR Lembah Subang 2, dan PPR Taman Putra Damai di Selangor; PPR Kerinchi dan PA Desa Rejang di Kuala Lumpur; PPR Melana Indah 2 di Johor serta PPR Kampung Melayu di Pulau Pinang.
Melalui pakej yang ditawarkan TIMEdotCom (Time) itu, golongan sasar dapat menikmati perkhidmatan internet berkelajuan 100 Mbps dan data tanpa had dengan kontrak langganan selama 24 bulan pada harga serendah RM69.
Dalam pada itu, Fahmi turut mengulas mengenai tahap pencapaian 5G di ibu kota.
“Tahap capaian liputan 5G di Kuala Lumpur telah mencapai 97.5 peratus berbanding 54.7 peratus di seluruh negara,” katanya.
-ZS-