Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Ikhlas Berniaga, Bukan Kaut Untung Semata-mata

By 3 April 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Mohammad Ezwandi (Perak)

IPOH, 3 Apr (Malaysiaaktif) – Kepelbagaian juadah di bazar Ramadan pastinya menarik perhatian orang ramai untuk singgah membeli bagi dijadikan sebagai sajian berbuka puasa.

Selain memudahkan orang ramai khususnya penganut agama Islam mencari juadah, bazar ini juga menjadi lubuk rezeki buat peniaga kerana mampu meraih pendapatan yang lebih berbanding kebiasaan. Walau bagaimanapun, kemeriahan jualan di bazar Ramadan ada antaranya hanya indah khabar daripada rupa.

Pengunjung Mohd Helmi Ibrahim, 40, berkata isu makanan hangit, basi atau busuk tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

“Saya sebagai pembeli pastinya mengharapkan juadah yang dibeli berbaloi dengan harga yang dibayar, biar mahal sedikit asalkan sedap dan memuaskan.

“Peniaga perlu jujur dengan apa yang mereka jual, bukan sekadar mahu mengaut untung semata-mata,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan, Stadium Indera Mulia, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, peniaga Muhammad Alif Rozi, 29, berkata penjual mestilah ikhlas dalam berniaga tidak kira bagi mereka yang sudah lama berniaga atau baru memulakan perniagaan.

“Sebagai peniaga, sebaiknya kita sendiri yang mencuba dulu produk yang kita ingin hasilkan sebelum menjual kepada orang ramai,” katanya.

Bagi pengasas NZ Roti John Putrajaya, Rosmarlina Yati Aniza Rosli, 37, tiada masalah untuk sesiapa sahaja yang mahu mula berniaga biarpun menjual produk yang sama.

“Masing-masing ingin mencari rezeki apatah lagi berniaga pada bulan Ramadan ibarat bonus kerana mampu memperoleh pendapatan tambahan.

“Nasihat saya kepada peniaga baru agar bersabar untuk menaikkan jenama sendiri dan perlu kreatif dalam perniagaan,” ujarnya yang juga mempunyai beberapa cawangan di sekitar Ipoh.

-ZS-

Tinggalkan komen anda