Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Semangat Ukhuwah Diterjemahkan Melalui Program Memasak Bubur Lambuk

By 12 April 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)

SEGAMAT, 12 Apr (Malaysiaaktif) – Sejumlah 5,000 bekas bubur lambuk telah diagihkan kepada rumah anak-anak yatim, sekolah berasrama penuh, pusat-pusat tahfiz dan bazar-bazar Ramadan bersempena Program Memasak Bubur Lambuk Perdana Peringkat Negeri Johor di Masjid Taman Yayasan Segamat, semalam.

Sebanyak 18 periuk besar digunakan untuk memasak bubur oleh 10 agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam program yang dianjurkan oleh Majlis Kebudayaan Negeri Johor dengan kerjasama Pejabat Daerah Segamat dan Pertubuhan Kebudayaan Dan Kesenian Daerah Segamat.

Timbalan Pengerusi Majlis Kebudayaan Negeri Johor Datuk Othman Jais, berkata program tersebut merupakan acara tahunan menjelang bulan Ramadan.

“Cuma tahun ini Segamat menjadi tuan rumah bagi program Memasak Bubur Lambuk Perdana dan ianya satu penghargaan kepada kami di sini,” katanya.

Pentadbir Tanah Segamat Mohd Helmi Datuk Sa’ari, berkata hampir sepuluh jabatan bersama-sama dalam program ini dan dari Majlis Kebudayaan Negeri sahaja telah memasak sebanyak sepuluh periuk bubur lambuk secara gotong-royong.

Beliau turut menyampaikan sijil penyertaan kepada petugas yang terdiri daripada jabatan-jabatan yang terlibat dengan program memasak bubur lambuk perdana pada kali ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor Raven Kumar Krishnsamy, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis Anuar Abdul Manap, (ADUN) Kemelah Saraswaty dan Naib Pengerusi 1 Majlis Kebudayaan Negeri Johor Datuk Ariss Samsudin.

-ZS-

Tinggalkan komen anda