Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Umat Islam di Malaysia Sambut Aidilfitri Sabtu ini

By 20 April 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Zaidy Salim/Radio Televisyen Malaysia

PUTRAJAYA, 20 Apr (Malaysiaaktif) – Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Sabtu ini, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad malam tadi.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada hari Sabtu, 22 April 2023,” katanya.

Pengumuman tarikh Aidilfitri itu disiarkan menerusi siaran televisyen tempatan.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui satu kenyataan sebelum ini menetapkan tarikh melihat anak bulan Syawal untuk umat Islam di Malaysia ialah pada pada petang Khamis, 20 April bersamaan 29 Ramadan 1444 Hijriah di 29 lokasi seluruh negara.

Lokasi-lokasi tersebut ialah Pontian Kecil, Johor dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka, Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan, Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.

Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru di Manjung di Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh di Pulau Pinang serta Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar, Alor Setar di Kedah.

Pusat Falak Miri, Teluk Bandung, Kuching serta Tanjung Batu, Bintulu (Sarawak); Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan (Sabah); Bukit Tanjong Batu di Nenasi, Gunung Berinchang di Cameron Highlands dan Bukit Pelindong di Kuantan (Pahang).

Di Terengganu lokasinya di Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Mukim Merang, Setiu. Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC), Kota Bharu di Kelantan.

Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya serta Menara Pandang, Masjid Al-Hussain Kuala Perlis, Perlis.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda