Laporan/foto: Noor Sazarina Mohd Noor/Saiful Zalizan Yaacob (Hulu Langat)
HULU LANGAT, 6 Mei (Malaysiaaktif) – Sambutan Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri peringkat Daerah Hulu Langat mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.
Seramai 10,000 orang pengunjung hadir dalam program yang bermula pada pukul 8.00 malam.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir. Izham Hashim program ini merupakan program turun padang ke daerah-daerah di seluruh negeri Selangor bagi menyantuni rakyat.
“Kerajaan negeri Selangor menganjurkan rumah terbuka di setiap daerah bagi meraikan sambutan Aidilfitri bersama rakyat,” katanya.
Menurut Penghulu Mukim Hulu Langat Norezudin Kamaruddin sambutan daripada komuniti setempat serta orang ramai amat menggalakkan dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat yang bersama-sama meraikan rumah terbuka tersebut.
“Pelbagai menu disediakan untuk pengunjung yang hadir antaranya kambing golek, sate, lemang, ketupat, nasi impit, rendang, kuih-muih dan air balang,” katanya.
Persembahan artis jemputan Pija Mentor dan Pentarama Jabatan Penerangan Malaysia serta sumbangan duit raya memeriahkan lagi program tersebut.
Turut hadir Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan, Ahli Dewan Undangan Negeri Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Haris Kassim, Pegawai Daerah Hulu Langat Dato’ Mohd Jusni Hashim Pegawai Daerah Hulu Langat dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang Najmuddin Jemain.
-ZS-