Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Hadiah Sentuhan Kasih Sayang buat Warga Teluk Intan

By 7 Mei 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Alihanafiah/Muhamad Amsyar (Hilir Perak)

TELUK INTAN, 7 Mei (Malaysiaaktif) – Kerajaan Perpaduan meluluskan peruntukan sebanyak RM80 juta bagi Projek Tebatan Banjir Fasa 2 di kawasan Teluk Intan.

Menurut Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming, peruntukan ini merupakan hadiah sentuhan kasih sayang sempena bulan Syawal kepada seluruh warga Teluk Intan.

“Projek tebatan banjir sepanjang enam kilometer dengan nama Teluk Anson Waterfront Recreational Park ini akan menjadi taman rekreasi awam tepian sungai yang pertama di Malaysia.

“Sebagai sebuah projek dengan bajet berasaskan prestasi, proses tender terbuka akan dijalankan pada bulan ini juga dan diharapkan projek mula berjalan pada tiga bulan seterusnya,” ujarnya pada sidang media sempena lawatan kerjanya, di sini kelmarin.

Nga turut mengumumkan beberapa projek menaik taraf dan menyelenggara fasiliti di bawah seliaan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) yang melibatkan empat lokasi dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.5 juta.

Projek-projek menaik taraf tersebut termasuklah Medan Selera Glutton Square Jalan Ah Cheong (RM600 ribu), Pusat Penjaja Jalan Maharani (RM600 ribu), Pasar Awam Teluk Intan (RM800 ribu) dan Taman Rekreasi Riverfront Jalan Mahkamah (RM500 ribu).

“Semua (projek menaik taraf) akan bermula tahun ini. Jika boleh, bulan ini mula, bulan Disember siap,” ujar Nga yang turut menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Daerah Hilir Perak di Dewan Bandaran Teluk Intan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda