Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 29 Mei (Malaysiaaktif) – Sikap prihatin seorang warga emas membersihkan rumah sampah secara sukarela di Kampung Sungai Chinchin, di sini turut memberi rezeki kepada beliau apabila sampah berkenaan dijual semula.
Mohd Adnan Hashim, 60, berkata kerja-kerja tersebut dilakukan secara sukarela untuk mengisi masa terluang sejak setahun lalu selepas waktu subuh hingga pukul 12 malam.
Katanya, orang ramai kurang sedar sampah juga boleh mendatangkan duit melalui pengasingan barang kitar semula.
“Saya asingkan sampah kertas, plastik sebelum dijual dan hasilnya agak lumayan hingga mencecah RM1,000.
“Namun keutamaan saya bukan keuntungan semata-mata tetapi untuk melakukan kerja sukarela membersihkan tempat ini,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Menurut Adnan, dia terpaksa bermalam di rumah sampah itu pada Ramadan lalu susulan lambakan sampah tidak terkawal.
“Terdapat peniaga yang ambil jalan mudah membuang sampah di sini walaupun tempat ini untuk kegunaan penduduk sahaja menyebabkan timbunan sampah seperti tidak terurus.
“Saya pernah tidur di sini pada Ramadan lalu berikutan sampah terlalu banyak kerana ada peniaga bazar yang membuang sampah di sini,” ujarnya.
Katanya, keluarga dan penduduk kampung tidak memandang sinis tindakan beliau itu malah banyak memberikan sokongan.
“Sejak saya di sini, mereka agak segan untuk membuang sampah sesuka hati yang secara tidak langsung mendidik masyarakat menjaga kebersihan,” katanya.
-ZS-