Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat
KANGAR, 29 Mei (Malaysiaaktif) – Perkampungan Sunnah Siri ke-8 Tahun 2023 di Masjid Alwi, di sini yang bermula pada Jumaat sehingga semalam mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat negeri Perlis dan luar negara.
“Tema Membanteras Syirik, Menghapus Khurafat adalah bertepatan kerana kini perkembangan ajaran khurafat kelihatan semakin menjadi-jadi. Antara amalan seperti memuja kubur, meminta pertolongan roh, kepercayaan terhadap objek atau haiwan yang dipercayai memberi manfaat atau bala sering berulang kali dilakukan oleh masyarakat sehingga kini,” titah Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, semalam.
Menurut baginda, ia sangat mendukacitakan apabila kepercayaan karut-marut dalam masyarakat masih ada.
“Seharusnya al-Quran dan al-Sunah menjadi panduan utama masyarakat Islam kerana ia memesongkan landasan akidah yang sebenar,” titahnya.
Pelbagai ceramah telah diadakan sepanjang program berlangsung seperti Amalan Khurafat di Nusantara, Pengaruh Syirik dan Khurafat Dari Agama Asing Dalam Masyarakat Islam, Syirik dan Khurafat Yang Berpunca Daripada Ketaksuban.
-ZS-