Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid/Mohammad Ezwandi (Perak)
IPOH, 29 Mei (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan pimpinan beliau memberi kebebasan sepenuhnya kepada media di negara ini untuk terus beroperasi tanpa sebarang campur tangan mana-mana pihak.
Anwar berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, di Pusat Konvensyen Casuarina, Hotel Casuarina@Meru, dekat sini semalam.
“Kritikan terhadap kerajaan adalah diharuskan dan ia tidak harus menimbulkan rasa cemas dan takut dalam kalangan pimpinan.
“Saya yakin apa yang kita (kerajaan) lakukan dan sedia bertempur dengan hujah. Kalau benar ada kelemahan, kerajaan bersedia memohon maaf dan lakukan perubahan yang wajar,” katanya.
Menyorot kembali sejarah awal dunia kewartawanan di Malaysia, Anwar berkata wartawan merupakan penggagas idea, pencetus semangat dan penyemai benih kesedaran yang membawa perubahan dalam mempertahankan kebebasan media menyuarakan suara hati rakyat.
Beliau turut menyifatkan wartawan sebagai satu profesion kritikal dalam memaknai erti pembangunan dan demokrasi.
Sambutan HAWANA 2023 di Ipoh yang berlangsung selama tiga hari bermula Sabtu dihadiri 1,000 pengamal media dari pelbagai platform dan agensi dari dalam dan luar negara.
-ZS-