Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)
SEGAMAT, 25 Jun (Malaysiaaktif) – Program Jualan RAHMAH (PJR) dilaksanakan melalui kolaborasi bersama pasaraya bagi tujuan merancakkan ekonomi sektor peruncitan di samping membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
29 jenis barangan dijual pada harga yang rendah daripada harga biasa dan menjimatkan antara 10% hingga 30% dalam Jualan RAHMAH peringkat DUN Bekok bermula 24 hingga 25 Jun 2023.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah, Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Daerah Segamat, Ramdan Fitri Nor, berkata “Jualan RAHMAH pada bulan Jun telah dijalankan serentak di kesemua DUN dalam daerah Segamat, bagi DUN Bekok hanya melibatkan satu buah pasaraya iaitu Pasaraya Fuming Yingwangshun Sdn Bhd di Chaah.”
“Pihak KPDN mengharapkan PJR ini dapat diperluaskan lagi promosi di media sosial dan penambahan dana serta boleh dijalankan setiap minggu di setiap DUN,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekok, Tan Chong, berkata inisiatif tersebut sangat diperlukan dalam mengurangkan kos sara hidup terutama golongan B40 dan mengharapkan lebih banyak peruntukkan disalurkan supaya lebih banyak barang dapat dikurangkan harga.
“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan melalui KPDN Segamat yang mana telah membantu bagi melancarkan program selama dua hari yang membuktikan kerajaan cakna dengan keperluan rakyat,” ujarnya.
Tan Chong turut berkesempatan melancarkan Program Jualan Rahmah DUN Bekok yang melibatkan 29 jenis barangan dan mengedarkan gula pasir 1kg secara percuma kepada pelanggan pasaraya sejumlah 46 beg.
-ZS-