Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 25 Jun (Malaysiaaktif) – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) dengan kerjasama FAMA Negeri Johor telah menyantuni golongan asnaf melalui Program Pasar Tani Mega dengan pemberian bantuan kepada 61 orang penerima sekitar Taman Mutiara Rini, di sini, pada Jumaat lalu.
Agihan berupa sumbangan bakul makanan, wang tunai, daging dan kupon berbelanja bernilai RM100 telah diagihkan di Pasar Tani Mutiara Rini agar dapat meringankan beban perbelanjaan menjelang sambutan Aidiladha tidak lama lagi.
Penerima, Jamaliah Zainun, 57, berkata sumbangan ini membantu meringankan sedikit sebanyak kos sara hidup keluarganya.
“Saya rasa bersyukur dan gembira sumbangan ini dapat membantu saya sekeluarga dan berharap lebih banyak bantuan sebegini diberikan kepada golongan asnaf dan orang kurang upaya,” katanya.
Seorang lagi penerima, Zaimah Daud, 57, berkata beliau turut berterima kasih kepada FAMA Negeri Johor kerana memberikan sumbangan kupon berbelanja di pasar tani.
“Dengan kupon ini saya dapat beli ikan dan barang-barang keperluan dapur yang lain secara percuma dan ini meringankan perbelanjaan keluarga kami,” katanya.
-ZS-