Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Petani dan FAMA Perlu Bekerjasama Pasarkan Hasil Pertanian ke Pasaran Luar

By 13 Jun 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)

SEGAMAT, 13 Jun (Malaysiaaktif) – Pelbagai inisiatif dilaksanakan pihak kerajaan untuk menyejahterakan petani di luar bandar dan pedalaman mendapat manfaat yang terbaik.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor Datuk Zahari Sarip, petani yang ingin mengembangkan hasil tani hingga ke pasaran luar perlu bekerjasama dengan pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) kerana ditakuti berlakunya kes lambakan hasil tanaman di pasaran tempatan.

Zahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, berkata Pejabat Pertanian Segamat sentiasa terbuka kepada orang ramai khususnya para petani yang ingin mendapatkan input berkenaan pertanian.

“Jangan malu, cari masa untuk mendapat maklumat terutama kepada penduduk kampung di sini,” katanya dalam Program Penerangan Pertanian Kepada Usahawan Tani Kampung Mensudut Lama, di sini semalam.

Ketua Kampung Mensudut Lama Mahadi Elias, berkata program pada hari ini telah disertai usahawan tani seramai 20 orang daripada golongan belia kampung bagi mendengar sesi penerangan daripada Pejabat Pertanian Segamat serta Pejabat FAMA Segamat.

Seorang usahawan tani Md Syazwan Md Zainal, 35, bersyukur dan berterima kasih kepada Pejabat Pertanian yang memberikan dua beg baja organik beserta sebuah kereta sorong bagi memudahkan proses penanaman pisang berangan serta pisang nangka seluas enam ekar miliknya.

Antara pengisian sepanjang program ini adalah perkongsian advokasi keselamatan internet dan kios jualan atas talian oleh Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kampung Mensudut Lama, sesi penerangan dan soal jawab bersama Pegawai Pertanian serta Pegawai FAMA Segamat dan penayangan montaj aktiviti usahawan tani.

Turut hadir Pegawai Pertanian Segamat Zamry Aya, Pegawai FAMA Segamat Samsudin Mistam, Pengurus PEDi Kampung Mensudut Lama Siti Fatimah Zailan dan ketua-ketua kampung mukim Buloh Kasap.

-ZS-

Tinggalkan komen anda