Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

PSDeaf Terima Suntikan Dana Pembangunan Sukan untuk Orang Pekak Pulau Pinang

By 7 Jun 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Shahrizan Shahabudin (Seberang Perai Selatan)/MSN Pulau Pinang

BATU KAWAN, 7 Jun (Malaysiaaktif) – Persatuan Sukan Orang Pekak Pulau Pinang (PSDeaf) telah menerima sumbangan berjumlah RM50,000 daripada kerajaan negeri Pulau Pinang dan syarikat korporat pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Jamuan Teh Bersama Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang di Auditorium The Ship Campus, Batu Kawan, Pulau Pinang semalam.

Presiden PSDeaf Chan Kah Khong, berkata majlis jamuan teh diadakan bertujuan mengumpul dana agar persatuan dapat melaksanakan kegiatan sukan bagi komuniti pekak dan mempromosikan semangat sukan dalam kalangan warga pekak di Pulau Pinang selaras dengan inisiatif Sukan Untuk Semua yang dilancarkan oleh kerajaan negeri.

“PSDeaf sangat bersyukur kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama-sama Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang memberi layanan yang sama rata kepada semua persatuan sukan termasuklah Persatuan Sukan Orang Pekak Pulau Pinang ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Soon Lip Chee yang juga merupakan Pengerusi MSN Pulau Pinang, berkata melalui inisiatif Sukan Untuk Semua yang dibawa oleh MSN Pulau Pinang, semua orang mendapat peluang yang sama untuk melibatkan diri dalam sukan dan menjana potensi mereka sepenuhnya.

“Dengan adanya sokongan daripada pihak kerajaan negeri dan syarikat swasta, saya yakin bahawa PSDeaf akan dapat terus berusaha untuk merancakkan lagi pembangunan sukan dan kebajikan komuniti pekak di negeri Pulau Pinang,” katanya.

Pada majlis itu Soon Lip Chee mewakili kerajaan negeri Pulau Pinang menyampaikan cek cura berjumlah RM10,000 kepada Chan Kah Khong.

Turut menyampaikan replika cek sumbangan adalah daripada syarikat korporat iaitu Peninsular College, Mega Films Distribution Sdn. Bhd; Wiitrac Elevator Sdn. Bhd dan Ee-Lian Enterprise (M) Sdn. Bhd. yang masing-masing bernilai RM5,000.

Kelab Anak-Anak Pulau Pinang turut menyumbangkan 200 kotak makanan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM10,000 kepada ahli-ahli persatuan, manakala McDonald’s Malaysia juga turut tidak ketinggalan dalam menaja makanan kepada 300 tetamu yang hadir ke majlis tersebut.

-ZS-

Tinggalkan komen anda