
Laporan/foto: Mohd Faizal Mansor/Mohamed Hirsham Azmi
PONTIAN 24 Jul (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat menziarahi jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di Masjid Jamek Haji Noh Gadot, Serkat, Tanjung Piai, di sini pagi tadi.
Anwar juga mengimamkan solat jenazah bersama-sama lebih kurang seribu Jemaah sebelum jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat untuk dikebumikan kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.
Allahyarham Salahuddin, 61, disahkan meninggal dunia pada pukul 9.23 malam tadi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah akibat pendarahan dalam otak.
Turut kelihatan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan beberapa orang Timbalan Menteri Kabinet Malaysia.
-ZS-