Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)
LANGKAWI, 6 Jul (Malaysiaaktif) – Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) telah menjalani proses penilaian semula status bermula pada 30 Jun hingga 4 Julai lalu sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan status berprestij tersebut.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin, semasa ditemui pihak media di Program ‘Geopark To School’ di Sekolah Kebangsaan Kilim, di sini kelmarin, berkata proses penilaian semula ini dijalankan oleh dua penilai yang dilantik oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) iaitu Pengarah Chinese Geopark Network China Profesor Dr. Yuanyuan Zheng dan Ahli Geologi dari Jeju UNESCO Global Geopark Korea Dr. Yongmun Jeon.
“Sepanjang tempoh penilaian semula ini, Professor Dr. Yuanyuan Zheng dan Dr. Yongmun Jeon akan menilai LUGGp secara terperinci berdasarkan satu set kriteria yang komprehensif yang telah ditetapkan oleh UNESCO. Kriteria-kriteria ini termasuklah kepelbagaian geologi, usaha pemuliharaan, amalan pelancongan lestari, pendidikan dan penglibatan komuniti.
“Proses penilaian semula ini berfungsi sebagai peluang bagi LUGGp untuk menunjukkan komitmen berterusan kepada pemuliharaan, pembangunan mampan dan amalan pelancongan yang bertangungjawab,” katanya.
Menurutnya lagi, dengan memenuhi piawaian ketat yang ditetapkan oleh UNESCO, diharapkan LUGGp dapat mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi global utama untuk para peminat alam semula jadi, para penyelidik dan pengunjung yang mencari pengalaman yang tiada tandingannya.
-ZS-