
Laporan/foto: Zaidi Jamin (Sabah)
KOTA KINABALU, 5 Ogos (Malaysiaaktif) – Warga perubatan khususnya kakitangan hospital digalakkan terus menghayati erti kemerdekaan dengan mengibarkan jalur gemilang dengan penuh ikhlas.
Menurut Pengarah Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dr. William Gotulis mengibarkan jalur gemilang di kediaman sendiri mahupun sekitar perkarangan pejabat sudah pasti memberi banyak hikmah tersendiri.
“Amalan dan tindakan sedemikian pasti mempengaruhi jiwa kita untuk terus memelihara dan menjaga kedaulatan negara sepanjang 66 tahun kita mengecapi kemerdekaan.
“Selain itu, budaya ini memberi contoh kepada seluruh ahli keluarga agar cakna erti kemerdekaan sebenar,” jelasnya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran, di sini kelmarin.
Tambahnya, amalan berhimpun yang dihadiri seluruh kakitangan khususnya di Program Semarak Merdeka peringkat hospital memberi banyak manfaat kepada diri dan organisasi.
“Program ini mampu mengkukuhkan rasa kekitaan menerusi kerja secara berpasukan sekaligus dijadikan wadah untuk aktif semula melalui penglibatan aktiviti luar setelah peralihan ke fasa endemik”, ujarnya.
Majlis Pelancaran Program Semarak Merdeka Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) Peringkat Hospital Queen Elizabeth turut diserikan dengan persembahan multimedia Detik Sejarah Kemerdekaan Negara diikuti Penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua-ketua Bahagian.
-ZS-