Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

25 Majikan Menanti Pekerja di Karnival Kerjaya My Future Jobs

By 16 September 2023September 18th, 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah

KANGAR, 16 Sep (Malaysiaktif) – Karnival Kerjaya anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Perlis melibatkan 25 majikan daripada negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Pahang dan Kuala Lumpur bermula hari ini sehingga esok di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar.

“Ini adalah antara karnival kerjaya terbesar di negeri Perlis.

“Rebutlah peluang ini untuk terus mendapatkan peluang kerja dengan ditemuduga secara terus oleh 25 majikan yang hadir,” ujar Ketua Negeri Perkhidmatan Pekerjaan Negeri Perlis Nazri Ibni Hajar.

Katanya, karnival kerjaya ini adalah kerjasama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis (BPEN).

Anak-anak muda yang berumur 18 tahun ke atas perlu hadir melihat peluang-peluang kerja yang disediakan.

“Pihak PERKESO turut menyediakan perkhidmatan kaunseling kerjaya,” katanya.

Bagi graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Pelancongan yang berasal daripada Kangar, Shazatul Azwa Agil, 25, karnival kerjaya yang diadakan oleh pihak PERKESO pada hari ini membuka peluang kepadanya dan para graduan untuk membina keyakinan dan terus di temu duga oleh majikan.

“Ia membuka peluang kepada kami semua untuk memohon kerjaya atas bidang kelayakan masing-masing,” katanya.

Turut diadakan di Karnival Kerjaya My Future Jobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri rumah pada hari ini adalah pameran-pameran oleh agensi-agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Negeri Perlis, Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) dan beberapa agensi lain dan juga Jualan Rahmah.

-ZS-

Tinggalkan komen anda