
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 19 Sep (Malaysiaaktif) – Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bekalan barang keperluan seperti beras, minyak dan telur masih stabil ketika ini.
Namun, Armizan mengakui bekalan berkenaan mengalami sedikit gangguan pada ketika tertentu.
“Pemantauan di dua pasar raya yang dikunjungi, pemiliknya mengakui berlaku gangguan beras tempatan.
“Bekalan ada tetapi jumlah yang diterima adalah jauh berkurangan sejak bulan Ogos lagi,” katanya.
Menurut beliau, gangguan berkenaan berlaku bukan setelah pengumuman Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) mengenai kenaikan harga beras import bermula 1 September.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan pemeriksaan dan memantau harga barangan keperluan asas di Pasar raya Sri Ternak Selayang dan Pasar raya NSK Selayang hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan penguatkuasa KPDN menghadapi kekangan ketika melaksanakan tugasan.
“Punca kuasa harga beras di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPTM) melalui Akta Kawalan Beras dan Padi 1994 (Akta 522).
“Esok mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan dibentangkan isu-isu berbangkit termasuk keperluan KPDN penguatkuasa diberi kuasa menerusi akta tersebut,” jelasnya.
-ZS-