
Laporan/foto: Rusmiza Anuar/Nik Noor Fatin Fatihah Nik Hasri (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Sempena sambutan Hari Malaysia, Majlis Belia Daerah Kuala Terengganu dengan kerjasama rakan strategik Pejabat Penerangan Daerah dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah baru-baru ini menjejaki pejuang yang telah menabur jasa dalam memastikan kedaulatan negara sentiasa dipelihara.
Antara pejuang yang diziarahi ialah pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Shamsudin Abdullah, 75, serta waris arwah Konstabel Polis Alias Embong yang telah gugur di medan pertempuran menentang pihak komunis pada tahun 1951.
Pertemuan itu juga telah memberi peluang kepada para belia untuk bertemu dengan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Md Ghadzi Muda yang kini menghidap sakit buah pinggang serta cucu kepada Tok Ku Paloh iaitu Yang Amat Mulia Engku Kelana Diraja Datuk Syed Omar Syed Kadir Al-Idrus.
“Perkongsian pengalaman daripada para pejuang dan waris membangkitkan semangat anak muda menghayati jerih perit pejuang terdahulu dalam memastikan kedaulatan negara terus terpelihara daripada ancaman pihak musuh,” kata Pengerusi Majlis Belia Daerah Kuala Terengganu Mohd Faizal Haron.
Beliau juga berharap agar program ini dapat membangkitkan semangat untuk mempertahankan kemerdekaan negara di kalangan belia yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan.
-ZS-