
Laporan/foto: Mohd Faizal Mansor/Lembaga Koko Malaysia
PONTIAN, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Pusat Keusahawanan Coklat Tanjung Piai (PKCTP) yang dibangunkan oleh Lembaga Koko Malaysia (LKM) telah diwujudkan bagi menyokong usahawan coklat buatan tangan di negeri Johor di samping meningkatkan hasil pengeluaran dan pendapatan rakyat tempatan.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengelola LKM Datuk Matbali Musah, PKCTP juga diwujudkan bagi menyediakan ruang latihan dan platform untuk mempromosi produk coklat usahawan tempatan.
“Setakat ini 12 orang usahawan sedang bergiat aktif di negeri yang mana operasi mereka adalah di Johor Bahru, Pasir Gudang, Skudai, Batu Pahat dan Masai,” ujarnya ketika merasmikan Program ‘Cocoa Open Day’ anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi Malaysia menerusi LKM, semalam.
Antara pengisian program tersebut adalah Demonstrasi Coklat Buatan Tangan, Demostrasi Sajian Sihat Koko, Pertandingan Coklat Buatan Tangan, Pertandingan Dapur Koko dan lain-lain lagi.
Turut hadir Ketua Pengarah LKM Malaysia Dr. Ramle Haji Kasin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas Tan Eng Meng.
-ZS-