Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala LumpurSelangor

Jualan Sukan Rahmah Dilancarkan, Bakal Rancakkan Sektor Peruncitan Sukan

By 14 September 2023September 29th, 2023Tiada komen2 minit bacaan
JSR Hannah
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hisham Salleh

DAMANSARA, 14 Sep (Malaysiaaktif) – Inisiatif Jualan Sukan Rahmah (JSR) telah dilancarkan buat julung kalinya hari ini, untuk menarik lebih rakyat Malaysia bergiat aktif dalam kegiatan sukan dan rekreasi — sekaligus dapat meningkatkan Indeks Budaya Sukan Negara.

Selaras dengan itu, pihak Kerajaan, dibantu oleh beberapa syarikat peruncitan sukan, akan mengadakan JSR 2023, bermula 16 September hingga 15 Oktober 2023, di cawangan syarikat-syarikat yang mengambil bahagian.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata, program jualan ini mewujudkan situasi “menang-menang” kerana rakyat memperoleh potongan harga barangan dan peralatan sukan, manakala pemain industri sukan mampu menaikkan hasil jualan.

“Secara tidak langsung, penglibatan lebih ramai rakyat dalam kegiatan sukan akan melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas selari dengan Visi Sukan Negara 2030 iaitu Malaysia mencapai status Negara Bersukan menjelang tahun 2030,” ujar beliau, selepas merasmikan Majlis Pelancaran JSR di The Curve, Mutiara Damansara, pagi tadi.

Antara syarikat-syarikat yang mengambil bahagian adalah Al-Ikhsan Sport Sdn Bhd, Gatti (M) Sdn Bhd, Original Classic Holdings Sdn Bhd, dan Decathlon Malaysia Sdn Bhd.

Hannah turut mengumumkan bahawa Jualan Sukan Rahmah akan dijadikan sebagai inisiatif tetap tahunan Kementerian Belia dan Sukan.

“Saya berharap pada masa-masa hadapan, lebih banyak lagi syarikat-syarikat yang mengambil bahagian,” tambahnya.

Jualan Rahmah berkonsepkan jualan murah yang diperkenalkan oleh kerajaan di bawah Inisiatif Payung Rahmah, bertujuan untuk membantu rakyat berjimat ketika berbelanja, di samping merancakkan ekonomi sektor peruncitan.

-HS-

 

Tinggalkan komen anda