Laporan/foto: Azfa Saffie (Kuala Selangor)
KUALA SELANGOR, 14 Sep (Malaysiaaktif) – Status golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak menghalang mereka mempamerkan semangat patriotik menerusi program Pasca Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, di sini kelmarin anjuran Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kuala Selangor.
Seramai 150 OKU PPDK Kuala Selangor menyertai perarakan sepanjang dua kilometer bermula dari perkarangan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kuala Selangor melalui Shell Bandar Baru Malawati, Stesen Bas Kuala Selangor dan seterusnya kembali semula ke PKMD.
Menurut Penyelia PPDK Kuala Selangor Mohamed Aqmal Mohamed Yazman, sebagai insan biasa kita juga bertanggungjawab menyemai rasa cinta dan kasih sayang kepada negara melalui pelbagai kaedah serta cara yang mudah difahami golongan OKU.
“Semangat mereka sangat dikagumi, walaupun berkerusi roda mereka penuh dengan penghayatan dan semangat gelorakan program sempena bulan kebangsaan ini,” katanya.
Selain PPDK Kuala Selangor, Sekolah Pra JAIS, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah, Pejabat Penerangan Daerah, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah dan SRA Ambulans turut menyertai perarakan ini.
Daerah Kuala Selangor mempunyai lima buah pusat PPDK iaitu di Kuala Selangor, Tanjong Karang, Ijok, Puncak Alam dan Saujana Utama dengan jumlah seramai 200 orang pelajar OKU dan 38 orang guru.
-ZS-