
Laporan/foto: Fasharina Kholil (SIK)
SIK, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Lebih 50 peserta menzahirkan rasa kecintaan kepada negara dengan melakukan pendakian merdeka menawan Bukit Monyok, Kampung Charok Damar, di sini semalam.
Program berkonsepkan santai dan riadah ini mampu memberikan erti tersirat kepada para peserta sempena ulang tahun ke-66 kemerdekaan negara, disertai oleh peserta daripada pelbagai lapisan umur.
Menurut Pegawai Belia dan Sukan Sik Siti Salmiah Md Ani, program Merdeka Fun Trekking ini juga diharap mampu menarik minat generasi muda untuk turut sama menghayati erti kemerdekaan negara sekali gus mempromosikan destinasi riadah di daerah itu.
“Apa yang menariknya, pada kali ini para peserta turut membawa Jalur Gemilang yang diberikan oleh Pejabat Penerangan Daerah Sik semasa pendakian dan bendera itu dikibarkan sejurus peserta tiba di puncak bukit.
“Kami berhasrat untuk meneruskan program seumpama itu pada masa akan datang dalam usaha menyemai semangat patriotik terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja,” jelasnya yang ditemui di Teratak Puding Emas, di sini semalam.
-ZS-