
Laporan/foto: Mohd.Yusof Hj. Abd. Samad
TANGKAK, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 800 orang yang hadir ke Program Persembahan Statik dan Perhimpunan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Daerah Tangkak bertempat di Dataran Ledang, di sini pagi tadi.
Perhimpunan kali ini disertai seramai 30 kontijen terdiri daripada jabatan serta agensi, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan dan kolej-kolej kemahiran di daerah Tangkak.
Kontinjen yang terlibat mempamerkan gaya serta teknik yang tersendiri bagi menambat hati orang ramai yang hadir.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Infrastruktur Negeri Johor merangkap wakil rasmi Menteri Besar Johor Ir. Ts. Mohd. Fadly Mohd. Salleh, berkata ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ merupakan tema Hari Kebangsaan kali ini yang menjadi teras ke arah kebersamaan demi memupuk perpaduan di negara kita.
“Dengan adanya semangat perpaduan dan kemerdekaan, negara ini dapat ditadbir dengan stabil,” ujarnya.
Tarian kebudayaan merangkumi etnik dan budaya negeri Johor turut diadakan melibatkan kaum Melayu, Cinia, India dan sebagainya.
Turut hadir Pegawai Daerah Tangkak Tuan Azman Muhammad Shah dan ketua-ketua jabatan daerah Tangkak dan pemimpin-pemimpin masyarakat.
-ZS-