Laporan/foto: Mohamad Faizzad Kamal (Muallim)
TANJONG MALIM, 8 Sep (Malaysiaaktif) – Barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri bersama ketua-ketua jabatan dan agensi sekali lagi turun padang bertemu rakyat dalam Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 siri 8 di Dewan Seri Tanjong, di sini semalam.
Menurut Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, hari ini (Khamis) sebanyak 132 aduan diterima dan sejak siri pertama hingga ketujuh, sebanyak 989 aduan telah diterima dengan 891 aduan itu berjaya diselesaikan.
“Aduan yang tidak dapat diselesaikan masih dalam pemerhatian dan tindakan jabatan yang terlibat.”
“Aduan tersebut merupakan aduan kompleks yang mengambil masa lebih daripada 15 hari untuk diselesaikan seperti permohonan peruntukan dari Kerajaan Persekutuan, permohonan tanah persendirian, membaik pulih jalan raya di daerah dan masalah penangkapan haiwan liar,” jelasnya.
Tambah Saarani, sempena MESRA kali ini juga, Kerajaan Negeri bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak turut mengadakan Program Jualan RAHMAH yang berlangsung sehingga pukul 5.00 petang.
“Jualan ini menawarkan barangan keperluan asas pada harga diskaun antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran setempat,” katanya.
-ZS-