Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Tiada Aktiviti Sorok Minyak Masak Paket Seperti Video Ditular – KPDN

By 15 September 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

RAWANG, 15 Sep (Malaysiaaktif) – Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh menjelaskan pihaknya telah menyiasat dan mendapati tiada aktiviti menyorok minyak masak paket seperti tular video semalam.

Katanya, berlaku salah faham apabila terdapat pengguna melihat pekerja pasaraya mengambil stok minyak masak di bawah kaunter seolah-olah barangan tersebut disorok.

“Sebenarnya minyak tersebut diletakkan di bawah kaunter apabila terdapat pembeli yang mengambil lebih had yang dibenarkan iaitu tiga paket sahaja.

“Secara kebetulan ada pembeli warga asing yang ingin membelinya lalu pekerja tersebut ambil di bawah kaunter hingga berlaku salah faham tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan pembukaan semula Pasaraya Giant, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fuziah memaklumkan tiada undang-undang atau garis panduan ketika ini menyekat warga asing membeli minyak paket.

“Undang-undang ketika ini tidak menyekat warga asing membeli minyak paket bersubsidi yang dikeluarkan 60,000 tan metrik sebulan.

“KPDN sedang membina mekanisme dan garis panduan agar dapat mengagihkan subsidi secara bersasar,” jelasnya.

Semalam, tular video berdurasi 40 saat memaparkan seorang individu mendakwa  pekerja sebuah pasaraya di Kuala Lumpur menyorok dan menjual minyak masak paket kepada warga asing.

-ZS-

Tinggalkan komen anda