Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

187 Pelajar Cemerlang Terima Insentif HOT

By 17 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari/Nurulaini Mohd Kasran

KOTA TINGGI, 17 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 187 pelajar cemerlang telah menerima insentif hadiah kecemerlangan oleh Home of Tenggara (HOT) bersempena Program Semarak Jaya Pendidikan 2023 Parlimen Tenggara di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, di sini semalam.

Ahli Parlimen Tenggara Manndzri Nasib, berkata inisiatif hadiah kecemerlangan ini merupakan langkah awal yang akan memayungi dan menggalakkan para pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun semasa untuk mencapai keputusan cemerlang.

“Selain insentif ini, HOT akan terus menganjurkan beberapa siri kursus kemahiran dengan kerjasama pertubuhan belia mahir bagi memberikan latihan kemahiran khas kepada anak-anak Tenggara dalam bidang automotif dan motorsikal.

“Kursus English Proficiency juga akan ditawarkan bagi memperkasa penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan belia supaya lebih kompeten dan mempunyai kebolehpasaran yang tinggi,” ujarnya.

Para pelajar yang terpilih akan menerima sijil dan insentif tunai berjumlah RM50 bagi setiap subjek yang mendapat 1A dalam SPM dan RM100 bagi pointer melebihi 3.50 bagi setiap subjek dalam STPM.

Sementara itu dalam majlis yang sama, 74 orang lepasan SPM turut menerima insentif kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi sebanyak RM200 bagi Diploma dan RM300 bagi Ijazah Sarjana Muda untuk membantu dalam persediaan awal pelajar melangkah ke alam universiti.

Program yang julung kalinya diadakan ini juga akan diteruskan oleh HOT setiap tahun bagi menggalakkan lebih ramai pelajar mendapat keputusan cemerlang.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Raja Rashidah Ismail dan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Tinggi Mohamad Fadhil Ishak.

-ZS-

Tinggalkan komen anda