Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Sambutan Maulidur Rasul Sekolah Kebangsaan Tok Kah Meriah

By 5 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mahadi Mustafa/Zulkifli Othman (Dungun)

DUNGUN, 5 Okt (Malaysiaaktif) – Sambutan Maulidur Rasul Sekolah Kebangsaan Tok Kah (SKTK) anjuran Panitia Pendidikan Islam disambut meriah dengan lebih 300 orang peserta melibatkan pelajar sekolah serta pelajar Tadika Kemas.

Sambutan yang mendapat sokongan padu daripada guru-guru, ibu bapa serta masyarakat kampung itu berarak sepanjang 1.5 kilometer bermula dari perkarangan SKTK ke Masjid Kampung Tok Kah.

“Program pada tahun ini lebih meriah berbanding sebelum ini kerana penglibatan ibu bapa, pelajar sekolah dan tadika.

“Diharapkan ianya dapat memberi kesan positif kepada anak-anak dalam usaha melahirkan murid yang berakhlak mulia,” kata guru besar SKTK Zazalli Abdullah, di sini hari ini.

Salah seorang guru Wan Sharatulnaim W. Jusoh, 47, berkata majlis tersebut adalah inisiatif sekolah dalam melahirkan anak-anak yang mencintai Rasulullah SAW di samping mengeratkan hubungan antara pihak sekolah dan masyarakat setempat.

Pelbagai acara turut diadakan sempena sambutan ini oleh pihak sekolah bertempat di Masjid Kampung Tok Kah, termasuk pertandingan mewarna, pertandingan azan, pertandingan nasyid dan ceramah khas Maulidur Rasul disampaikan oleh Mualim Pejabat Agama Daerah Dungun Ustaz Wan Mohd Khairul Anwar Wan Mohamad.

Program ini melibatkan beberapa agensi kerajaan seperti Pejabat Penerangan, Pejabat Perpaduan, Kemas dan Rela Daerah Dungun.

-ZS-

Tinggalkan komen anda