Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Banjir, Pencemaran Alam Sekitar dan Iklim Cabaran Utama Negara

By 14 November 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Majlis Bandaraya Johor Bahru 

JOHOR BAHRU, 14 Nov (Malaysiaaktif) – Perubahan iklim dan pencemaran alam sekitar disebabkan oleh beberapa faktor tertentu memberikan kesan negatif serta menjadi cabaran utama kepada negara setiap tahun.

Permasuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah telah bertitah bahawa perubahan iklim dan pencemaran alam sekitar kekal menjadi cabaran utama dalam kehidupan sejagat yang memberi kesan kepada semua.

Baginda bertitah ketika mencemar duli merasmikan Majlis Persidangan Asia Pacific Climate Week (APCW) 2023, semalam yang diadakan selama lima hari dari 13 hingga 17 November 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata bencana banjir akibat kesan perubahan iklim sangat memberikan kesan kepada bekalan air, biodiversiti dan produk makanan yang dihasilkan sekali gus akan memberikan ancaman kepada kesihatan serta keselamatan awam.

“Kesan perubahan iklim ini akan memberikan kesan yang buruk kepada negara. Justeru, langkah adaptasi yang sesuai adalah kunci bagi menangani cabaran berkenaan dan ketika ini, agensi kerajaan sudah bersiap sedia berdepan Monsun Timur Laut dari segi aset dan sumber tenaga manusia dalam keadaan baik,” katanya ketika menghadiri APCW 2023.

Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Johor Tan Sri Dato’ Dr Haji Azmi Rohani, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor Lee Ting Han, Pengerusi Pusat Kelestarian Negeri Johor Dato’ Ir Haji Hasni Mohammad, Barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor dan tetamu jemputan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda