Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

JKNS Lancar Ops Industri Susulan Peningkatan Kes Denggi

By 17 November 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/JKNS

SHAH ALAM, 17 Nov (Malaysiaaktif) – Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) melancarkan operasi bersepadu gempur Aedes ‘Ops Industri’ susulan peningkatan kes 63.2 peratus di negeri ini.

Pengarah JKNS Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman, berkata kes denggi Selangor bagi Epid 45 meningkat kepada 50,703 kes berbanding 31,078 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Katanya, jumlah kumulatif kematian denggi mencatatkan 14 kematian, meningkat sebanyak 75 peratus berbanding lapan kematian untuk tempoh sama.

“JKNS dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat serta semua Pejabat Kesihatan Daerah di negeri Selangor telah melancarkan Ops Industri untuk meningkatkan kesedaran masyarakat.

“Ops Industri ini melibatkan seramai 130 orang anggota penguatkuasa yang terdiri daripada Pegawai Kesihatan Persekitaran, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Pembantu Kesihatan Awam dan Pembantu Awam serta mensasarkan 81 premis industri yang berada di sekitar Telok Panglima Garang.

Menurutnya, hasil daripada operasi bersepadu tersebut, sejumlah 77 premis industri telah diperiksa dengan peratusan pemeriksaan premis adalah sebanyak 95.1 peratus.

“Pemeriksaan mendapati 59.7 peratus premis telah didapati positif dengan pembiakan nyamuk aedes dan empat notis di bawah Seksyen 8 Akta 154 telah dikeluarkan bersama arahan kerja pembersihan.

“Kesemua premis yang dijumpai pembiakan Aedes akan dibuka kertas siasatan dan seterusnya dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi pendakwaan di atas kesalahan membiarkan premis menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya menerusi kenyataan pada hari ini.

Katanya, tindakan mahkamah adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pihak pengurusan industri agar lebih prihatin mengenai kesejahteraan masyarakat di persekitaran.

-ZS-

Tinggalkan komen anda