Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah
KANGAR, 13 Dis (Malaysiaaktif) – Sempena Karnival Tok Wan 2023 di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Ahmad yang bermula hari ini sehingga esok, Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Perlis (DOSM) Perlis turun padang menyantuni warga sekolah tersebut.
Menurut Pembantu Perangkaan di DOSM Perlis Ismaroni Ismail, program turun padang itu bertujuan memberikan pendedahan secara tidak formal kepada para pelajar kepentingan data dan juga statistik.
“Secara tidak langsung pelajar sekolah rendah ini tahu akan manfaat daripada statistik-statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia,” ujarnya.
Pelajar Nur Fatehah Abdul Hakim, 9, tidak menyangka dengan kehadiran orang ramai ke karnival tersebut.
“Saya tau (tahu) kenapa ada orang mai (datang) rumah tanya macam-macam, rupanya kita boleh tau jumlah penduduk dan macam-macam lagi daripada aktiviti banci ni (ini),” katanya.
Menurut Pembantu Perangkaan Fauziah Osman, Karnival tersebut menjadi platform promosi DOSM Perlis yang akan menjalankan Banci Pertanian 2024 yang bertemakan ‘Kunci Kemajuan Pertanian’ bermula 1 Julai hingga 30 Oktober 2024.
Turut mencuri perhatian di Karnival Tok Wan adalah Pertandingan Penalti melibatkan 17 pasukan daripada sekolah-sekolah di seluruh Perlis.
-ZS-