Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Permuafakatan Masyarakat Teras Karnival Komuniti MDCH

By 8 Disember 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Muhammad Arief/Majlis Daerah Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS, 8 Dis (Malaysiaaktif) – Seramai 300 peserta menyertai ‘Low Carbon Fun Walk Plogging’ yang terdiri daripada para pelajar, kakitangan awam serta komuniti setempat dalam menjayakan salah satu aktiviti yang dirangka sempena Karnival Komuniti Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) yang julung kalinya diadakan ini.

Setiausaha MDCH Mazlan Mohamed Isa, berkata Karnival Komuniti Peringkat MDCH ini telah pun berlangsung selama 7 hari bermula 1 Disember 2023 yang lalu dan hari ini merupakan hari kemuncak bagi Karnival Komuniti MDCH ini.

“Acara hari ini dimulakan dengan aktiviti ‘Low Carbon Fun Walk Plogging’ yang berlangsung secara santai dan ianya berjaya menyampaikan mesej dan salah satu objektif karnival ini iaitu meningkatkan penglibatan komuniti setempat dalam permuafakatan masyarakat di sini,” ujarnya.

Menurut Mazlan, pelbagai aktiviti dan program dijalankan bagi memeriahkan Karnival Komuniti MDCH pada tahun ini.

“Paling menjadi tumpuan adalah pertandingan Tandas Awam Bersih dan juga Premis Makanan Bersih melibatkan pengusaha hotel, pengusaha premis makanan dan sekolah di daerah ini.

“Selain itu, program Pemuliharaan Bangunan Warisan juga dijalankan dan melibatkan Pejabat Pos yang merupakan salah satu daripada tiga bangunan yang terlibat dalam menjalinkan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan, swasta dan komuniti,” ujarnya yang turut bersama-sama dalam majlis perasmian semalam.

Turut hadir wakil Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohammad Haziq Mohd Rohir yang merasmikan Karnival Komuniti MDCH kali ini.

-ZS-

Tinggalkan komen anda