Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Projek Tanaman Jagung Bantu Basmi Miskin Tegar

By 14 Disember 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Sazali Ab Hamid (Pengkalan Hulu)

PENGKALAN HULU, 14 Dis (Malaysiaaktif) – Sebanyak 66,000 pokok jagung ditanam dalam fasa pertama, program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) Basmi Miskin Tegar (BMT) yang dilaksanakan di daerah ini sejak September lalu.

Program ini diuruskan jawatankuasa teknikal yang dianggotai oleh Pejabat Daerah, Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Pejabat Penghulu dan Pertubuhan Peladang Kawasan Pengkalan Hulu bersama Unit Teknikal IPR di bawah Kementerian Ekonomi.

Menurut Pegawai Lapangan Teknikal IPR Daerah Alif Daniel Solahudin, 26, projek yang dijalankan di Kampung Kuak Luar ini merupakan satu bantuan terus oleh kerajaan bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat khususnya golongan miskin tegar yang berdaftar.

“Peserta tidak perlu mengeluarkan sebarang kos kerana semuanya diuruskan oleh kerajaan termasuk menyediakan tapak. Peserta hanya perlu melaksanakan kerja-kerja fizikal seperti menanam, membaja dan menjaga pokok.

“Begitu juga dengan pemasaran, peserta tidak perlu bersusah payah untuk menjual hasil kerana semuanya akan diuruskan oleh pihak kami,” ujarnya yang turut memaklumkan peserta akan menerima elaun tuaian pertama sebanyak RM500 seorang secara sekali beri selain hasil jualan diserahkan kepada peserta.

Sementara itu, peserta, Tarmizi Razman, 54, berkata program ini merupakan satu langkah kerajaan yang perlu disambut baik kerana membantu rakyat terutama golongan miskin.

“Penyertaan dalam program ini memberi pendapatan sampingan kepada saya yang hanya bekerja kampung,” ujarnya.

Seorang lagi peserta, Mohd Shamsul Hassan, 33, berpendapat program ini memberi peluang kepadanya untuk mendalami ilmu berkenaan penanaman jagung melalui kursus yang dihadiri sebelum projek bermula.

“Kursus dan lawatan yang dianjurkan oleh pihak jawatankuasa teknikal memberi pengetahuan penting untuk peserta menjalankan projek pertanian pada masa hadapan,” ulasnya ketika ditemui, kelmarin.

Program ini dilaksanakan secara berfasa dan mengikut kampung. Fasa pertama tamat setelah pengeluaran hasil selesai dan peserta dari kampung lain pula akan dipilih untuk menyertai program ini, selaras dengan seruan kerajaan untuk menoktahkan miskin tegar.

-ZS-

Tinggalkan komen anda