Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Hayati dan Terap Etos Kepahlawanan – PTD

By 29 Januari 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Tentera Darat Malaysia

PORT DICKSON, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Tan Sri Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan menyeru agar anggota tentera menghayati dan menerapkan etos kepahlawanan dalam diri masing-masing.

“Nilai etos kepahlawanan seperti disiplin, kehormatan diri, keberanian, integriti, profesional, kesatuan, pengorbanan dan kesetiaan yang berlandaskan kepercayaan kepada Tuhan hendaklah sebati dalam diri.

“Jadikanlah kerjaya mulia ini sebagai jambatan yang dapat membawa kita ke syurga,” katanya ketika berucap dalam Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda (TLPM) Lelaki Siri 198/23 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), di sini kelmarin.

Beliau turut menyeru agar setiap anggota tentera menghindarkan diri daripada aktiviti tidak bermoral yang melanggar perintah Tuhan dan peraturan perkhidmatan.

“Tentera Darat (TD) tidak akan berkompromi dengan kesalahan sedemikian dan sayangilah perkhidmatan keramat ini hingga ke titisan darah yang terakhir,” ujarnya.

PTD turut mengambil peluang memberikan penghargaan dan kenaikan pangkat Sarjan kepada Koperal Mazlan Abdul Rahman daripada pasukan batalion Rejimen Kedua Askar Melayu Diraja (2 RAMD) yang telah menyelamatkan nyawa dua orang awam di Jambatan Pulau Pinang pada 15 Januari lalu.

Perbarisan kali ini menyaksikan seramai 1,436 orang Perajurit Muda lelaki telah menamatkan latihan dan melayakkan mereka menjadi anggota tentera Lain-lain Pangkat (LLP).

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda