Laporan/foto: Norhayati Shamsu Anuar
GUA MUSANG, 29 Jan (Malaysiaaktif) – Masyarakat Orang Asli adalah antara komuniti yang tidak melepaskan peluang untuk hadir bagi mendapatkan maklumat mengenai sistem PADU di Program Jelajah eKasih@Galas, di sini pada Sabtu lalu.
Jabatan Perangkaan (DOSM) antara yang turut menawarkan perkhidmatan pendaftaran dan mengemas kini maklumat di dalam sistem tersenut.
Berdasarkan data yang diperoleh, masyarakat Orang Asli adalah antara kelompok yang masih ketinggalan dalam pendaftaran sistem PADU.
Pegawai Perangkaan Negeri Kelantan Mohd Zharif Yusof, 38, berkata di daerah Gua Musang seramai 550 Orang Asli telah mendaftar sistem PADU.
“Kami telah mula turun padang sejak dua minggu yang lalu dan setakat ini kami sudah pergi ke Aring 5 dan Kuala Betis,” katanya.
“Kaunter PADU memperlihatkan ramai Orang Asli membuat pendaftaran dan dibantu oleh Pegawai DOSM Negeri Kelantan,” katanya.
Menurut Along Angah, 33, dari Pos Belatim, sistem PADU sangat mudah untuk dikemas kini dan berharap Orang Asli yang lain turut membuat pendaftaran bagi memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan dan subsidi secara bersasar.
“Saya sangat teruja untuk mendaftar sistem PADU, jadi sejak pukul 9 pagi lagi saya sudah keluar dari rumah walaupun mengambil masa yang lama untuk sampai.
“Saya tidak mahu ketinggalan dalam menerima subsidi bersasar dan bantuan di masa hadapan,” katanya.
-ZS-