Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSukanWilayah Persekutuan

Korea Selatan Gagal Jinakkan ‘Harimau Malaya’

By 26 Januari 2024Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Azad Khan/FAM

PUTRAJAYA, 26 Jan (MalaysiaAktif) – Harimau Malaya membuat kejutan dengan mengikat gergasi bola sepak Asia di ranking ke-23 dunia, Korea Selatan, 3-3 dalam aksi terakhir kumpulan E Piala Asia 2023 Qatar, malam tadi.

Skuad kendalian Kim Pan gon membawa harapan jutaan rakyat Malaysia untuk pulang dengan sekurang-kurangnya satu mata dan jaringan daripada kejohanan berprestij peringkat Asia tersebut.

Dalam perlawanan penuh debaran di Stadium Al Janoub itu, Kim Pan Gon mengekalkan Dion Cools, Shahrul Saad dan Dominic Tan sebagai kubu terakhir dalam kesebelasan utama negara.

Pasukan ‘The Taeguk Warriors’ yang hadir selaku pasukan pilihan mendominasi sebahagian besar perlawanan dengan melakukan beberapa serangan menerusi Ketua Pasukan, Son Heung Min dan pemain tengah lincah meraka, Lee Kang In.

Selepas beberapa asakan ke arah pintu gol Malaysia, pasukan bimbingan Jurgen Klinsmann itu berjaya menjaringkan gol pertama hasil tandukan Jeong Woo Yeong pada minit ke-21, walaupun seakan diselamatkan oleh penjaga gol negara, Syihan Hazmi, namun bola telah melepasi garisan gol dan pengadil perlawanan dari Arab Saudi, Khalid Saleh Al Turais mengesahkan jaringan tersebut melalui Video Bantuan Pengadil (VAR).

Bersambung pada babak kedua, skuad negara memperkemaskan corak permainan ‘high pressing’ mereka dan taktikal tersebut membuahkan hasil apabila pemain sayap licik negara, Faizal Halim berjaya memperdayakan pertahanan dan penjaga gol Korea Selatan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-51.

Impak daripada gol penyamaan tersebut, Harimau Malaya seakan-akan mendapat suntikan moral untuk terus mengasak.

Pada minit ke-62, selepas dikasari oleh pertahanan Korea Selatan, Arif Aiman berjaya menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan kepada pasukan negara melalui keputusan VAR, untuk mendahului pasukan Korea Selatan.

Tersentak dengan kebangkitan pasukan kebangsaan, Korea Selatan terus mangatur gerak dan mengasak kubu Malaysia, mereka kembali menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma deras Lee Kang In pada minit ke-82, yang hanya menyinggah di hujung jari Syihan Hazmi sebelum masuk ke penjuru gawang.

Seakan ‘deja-vu’, ketika menentang Bahrain, Malaysia terus dihukum dalam minit kecederaan apabila keputusan VAR sekali lagi menyebelahi Korea Selatan, mereka dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil dan sepakan tersebut berjaya disempurnakan ayam tambatan mereka, Son Heung Min.

Enggan berputus asa, semangat pemain negara umpama belang hitam yang melekat di tubuh Harimau Malaya, tidak luntur. Dengan beberapa asakan terus ke kubu Korea Selatan, pada minit ke-115 Romel Morales muncul pemusnah harapan Korea Selatan apabila berjaya merobek gawang Korea Selatan apabila menerima hantaran cantik daripada pemain gantian, Paulo Josue.

Gol tersebut sudah cukup untuk memastikan pasukan negara mencuri satu mata daripada Korea Selatan dan boleh berbangga dengan tiga gol yang dihasilkan menentang pasukan gergasi Asia itu.

Ketua Pasukan Negara, Dion Cools menyifatkan perlawanan tersebut seperti ‘roller-coaster’, sengit dan mendebarkan.

“Kita menunjukkan karakter yang positif dalam perlawanan ini, biarpun mereka (Korea Selatan) amat dominan, kita tetap beri tentangan,” katanya selepas perlawanan.

“Bola sepak tidak akan berakhir sehingga wisel penamat, itulah yang kami lakukan, kami berjaya menjaringkan gol di hujung perlawanan,” ujarnya.

“Saya amat berbangga dengan pasukan ini, pujian harus diberikan kepada semua termasuk penyokong di tanah air,” tambah beliau.

Keputusan tersebut menyaksikan Korea Selatan kekal sebagai naib juara kumpulan E dengan mengumpul lima mata dan Juara kumpulan menjadi milik Bahrain yang menewaskan Jordan 1-0, untuk mengumpul enam mata. Jordan turut layak ke pusingan seterusnya sebagai tempat ketiga terbaik

-AK

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda