Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

PEDi Titi Serong Jadi Pilihan Daftar PADU

By 17 Januari 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mawarni Ismail/Haziqah Nabilah Zainon (Kerian)

PARIT BUNTAR, 17 Jan (Malaysiaaktif) – Ruang menunggu yang selesa, mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan tempat letak kereta yang luas selain terletak di antara Pekan Parit Buntar dan Pekan Tanjung Piandang menjadikan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Titi Serong sebagai tumpuan untuk orang ramai mendaftar serta mengemas kini maklumat peribadi dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Tinjauan yang dilakukan mendapati orang ramai telah bersiap sedia menunggu di PEDi ini seawal pukul 8.00 pagi.

Penolong Pengurus PEDi Titi Serong Muhd Taufik Ishak, berkata pihaknya telah melakukan hebahan melalui ketua-ketua kampung, masjid dan surau serta platform media sosial agar hebahan mengenai PADU ini lebih meluas dan menyeluruh.

“Kita harap hebahan ini sampai kepada masyarakat di pinggir bandar kerana kita tidak mahu sesiapa pun ketinggalan dalam menerima bantuan daripada kerajaan.

“Penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada Jabatan Penerangan (JaPen) yang melakukan hebahan melalui unit bergerak sehingga ke kawasan pedalaman,” katanya ketika ditemui, pada Isnin.

Tambah Muhd Taufik, kehadiran orang awam ke PEDi semakin bertambah dari sehari ke sehari dan ini menunjukan rakyat semakin yakin terhadap sistem PADU.

PADU merupakan sumber primer kerajaan dalam pengagihan subsidi dan penyaluran bantuan secara bersasar bagi memastikan rakyat yang layak tidak tercicir dalam menerima bantuan kerajaan.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda