Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

ANMS Tawaran Terbaru Kerajaan Bentuk Budaya Hidup Sihat Rakyat

By 24 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)

LABUAN, 24 Feb (Malaysiaaktif) – Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) adalah tawaran baharu kerajaan bertujuan menjadikan rakyat Malaysia sihat sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni, Kementerian Kesihatan komited mengangkat ANMS sebagai agenda negara bagi memastikan keluarga malaysia sihat sejahtera.

“Bagi merealisasikan agenda ini, kesihatan hendaklah dijadikan sebagai keutamaan dalam semua polisi, rancangan pembangunan dan pelan strategik kementerian dan agensi.

“ANMS yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 7 Ogos 2020 menggunakan pendekatan ‘whole of nation’ iaitu penglibatan semua agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan serta rakyat bagi memastikan pelaksanaannya adalah secara menyeluruh,” katanya semasa berucap pada Majlis Malam Apresiasi Rakan Strategik Jabatan Kesihatan Labuan di sini malam tadi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik Jabatan Kesihatan Labuan yang menjayakan agenda ANMS di wilayah itu.

“Izinkan saya untuk menyampaikan apresiasi yang mendalam kepada semua pihak atau rakan strategik jabatan ini yang telah menyumbang dari segi komitmen, tenaga, masa bahkan kewangan dalam menyantuni apa jua acara, program dan aktiviti jabatan.

“Terima kasih atas dukungan anda semua dan malam ini tidak hanya merupakan acara memberi penghargaan tetapi juga merupakan platform untuk memperkuat hubungan, membangun jaringan, dan merayakan prestasi bersama,” katanya.

Pada majlis itu beliau juga menyampaikan sijil penghargaan kepada seramai 60 buah agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan, syarikat-syarikat dan sukarelawan.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr. Francis Paul.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda