Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Kempen Keselamatan Jalan Raya Daerah Hulu Selangor Sempena Tahun Baru Cina

By 10 Februari 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Yuszairee (Hulu Selangor)

BUKIT BERUNTUNG, 10 Feb (Malaysiaaktif) – Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Tahun Baru Cina Daerah Hulu Selangor telah diadakan di Tol Bukit Beruntung, kelmarin.

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Yuhanas Auree Kamarudin, berkata berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejumlah 598,635 kes kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara bermula 1 Januari sehingga 30 Disember tahun lalu dan Selangor mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi sebanyak 173,129.

“Ahli Jawatankuasa Majlis Keselamatan Jalan Raya Daerah Hulu Selangor melalui mesyuarat bertarikh 19 Januari lalu telah mengenal pasti beberapa kawasan panas yang sering berlakunya kemalangan jalan raya iaitu di Jalan Utama berhampiran Serendah Golf Resort, Jalan Besar berhampiran Kampung Napi Ampang Pecah dan Jalan di Persimpangan Darul Atiq.

“Langkah-langkah untuk memastikan pengguna jalan raya sentiasa berwaspada dan mematuhi undang-undang jalan raya turut dirancang untuk dipertingkatkan oleh semua agensi keselamatan yang sedia ada di Daerah Hulu Selangor,” katanya.

Turut diadakan konvoi kenderaan oleh pelbagai agensi kerajaan Daerah Hulu Selangor, pelepasan, pertukaran topi keledar dewasa dan edaran cenderamata kepada pengguna Tol Bukit Beruntung.

-ZS-

Tinggalkan komen anda