Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang Membawa Seribu Harapan

By 4 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin/Kesultanan Pahang

PEKAN, 4 Mac (Malaysiaaktif) – Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat mengetuai Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024 bermula semalam hingga 6 Mac ini.

Ekspedisi tersebut yang berlangsung selama empat hari membabitkan enam daerah di sepanjang jajaran Sungai Pahang iaitu Pekan, Maran, Bera, Temerloh, Jerantut dan Lipis memberikan peluang keemasan buat rakyat jelata bertemu secara langsung dengan sosok tubuh Tengku Mahkota Pahang sendiri di kampung-kampung yang disinggahi baginda.

Dalam titah baginda di Kampung Belimbing semalam, aktiviti ekspedisi ini bukanlah kali pertama diadakan oleh Keluarga Diraja Pahang.

“Almarhum moyang, Sultan Abu Bakar di zaman pemerintahannya sememangnya terkenal sebagai seorang sultan yang berjiwa rakyat.”

“Salah satu aktiviti tahunan baginda semasa hayatnya ialah menyusuri Sungai Pahang dan Sungai Tembeling untuk bertemu dan beramah mesra dengan rakyat jelata di seluruh negeri dan saya hanya meneruskan apa yang telah dilakukan oleh Almarhum moyang demi cinta kasih kepada bumi Darul Makmur,” titah baginda.

Tengku Hassanal tidak melepaskan peluang untuk menyantuni rakyat jelata dalam pelbagai acara termasuklah menziarahi insan-insan yang memerlukan.

Hubungan rapat antara Keluarga Diraja Pahang dengan rakyat terjalin erat menguatkan lagi frasa kata yang sering digunakan di Pahang iaitu ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’.

Turut berangkat menyertai ekspedisi tersebut ialah YAM Tengku Panglima Raja Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

-ZS-

Tinggalkan komen anda