Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Enam Pasar Raya Labuan Jayakan Jualan Rahmah Mega Raya

By 31 Mac 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/KPDN

LABUAN, 31 Mac (Malaysiaaktif) – Buat julung kalinya Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan mengadakan Program Jualan Rahmah (PJR) Mega Raya pada 30 dan 31 Mac ini bertempat di Dewan Arena Bukit Kuda.

Menurut kenyataan rasmi KPDN Labuan semalam, sebanyak enam pasar raya dan enam agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyertai PJR Mega Raya itu selain mendapat sokongan penuh Perbadanan Labuan.

“Selain barangan keperluan isi rumah, item lain yang diberi keutamaan dalam pelaksanaan PJR Mega Raya ini antaranya adalah barangan keperluan untuk persiapan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi.

“Berdasarkan tinjauan, antara item yang menjadi pilihan pengunjung adalah ayam bulat, telur ayam, tepung, beras, mee, santan, biskut kering, gula, minyak masak botol dan minyak masak paket 1 kilogram,” menurut kenyataan tersebut.

Tambahnya, bermula Januari hingga awal Mac tahun ini KPDN Labuan berjaya mengadakan 16 kali PJR, yang mana tiga daripadanya adalah PJR Bergerak.

“PJR menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus daripada harga pasaran menerusi pemberian subsidi oleh kerajaan bagi membantu dari aspek penjimatan kos pembelian barangan keperluan isi rumah.

“PJR diadakan pada setiap hujung minggu bagi memudahkan pengguna membuat pembelian barangan keperluan asas khususnya bagi mereka yang keluar bekerja pada hari biasa,” katanya.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda