Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Kek Lapis Sarawak di Bota, Perak

By 26 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Hasbella Hasim/Aniss Rahin (Perak Tengah)

BOTA, 26 Mac (Malaysiaaktif) – Kek lapis merupakan pemanis mulut popular dari Bumi Kenyalang. Meskipun berasal nun jauh di negeri Sarawak, penggemar kek ini yang berada di Semenanjung tidak perlu terbang jauh semata-mata untuk merasai keenakannya.

Pengusaha kek lapis Mimi Rosita Narawi, 61, yang merupakan anak jati Sibu ini berkongsi pengalaman menjadi satu-satunya pengusaha kek lapis Sarawak di Bota Kanan pada tahun 2008.

“Ia bukanlah satu perjalanan yang mudah. Pada awalnya, saya hanya menjual nasi lemak secara kecil-kecilan pada tahun 1998. Setelah itu, pada 2008 barulah saya memulakan perniagaan kek lapis dengan membawa potongan kecil kek ini dari rumah ke rumah.

“Antara cabaran yang dihadapi adalah usaha untuk mengekalkan kualiti kek lapis agar tahan lama. Ini kerana resepi asal ibu saya adalah dengan cara mengukus. Setelah resipi ini diolah beberapa kali, saya menukar kaedah dengan cara membakar tetapi masih mengekalkan keaslian rasa kek lapis yang asal,” katanya.

Tambah Mimi, walaupun menerima pelbagai cabaran dan halangan kerana bukan orang tempatan namun tidak pernah sesekali menghalang usahanya untuk mengembangkan perniagaan kek lapis ini.

“Pelbagai variasi dan inovasi kek lapis berjaya dihasilkan seperti Kek Lapis Durian dan Kek Lapis Mat Kilau yang mencetus fenomena dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

“Saya bersyukur kerana dengan pelbagai bentuk bantuan diterima termasuk dari Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Negeri Perak, ia dapat membantu mengukuhkan perniagaan kek lapis ini,” katanya ketika ditemui di Gerai Mimi Rosita Kek Lapis, Bota Kanan, di sini kelmarin.

Harapannya sebagai seorang pengusaha yang masih berusaha menguasai dunia keusahawanan ini pastinya ingin memasarkan kek lapis ini di platform media sosial secara agresif dan penjenamaan semula produk agar dapat mengembangkan lagi pasaran di seluruh negara.

-ZS-

Tinggalkan komen anda