Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

NADMA Laksana OPA di Ruang Udara Sabah

By 29 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 28 Mac (Malaysiaaktif) – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pagi tadi melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di tiga daerah Sabah yang terjejas kemarau iaitu Papar, Lahad Datu dan Tawau.

Menurut Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus, OPA dibuat bagi mendapatkan sumber air yang mencukupi di kawasan tadahan hujan sepanjang tempoh negara berhadapan dengan cuaca panas.

“NADMA menggalakkan agar Kerajaan negeri yang memerlukan bantuan bagi menjalankan operasi ini agar mengemukakan cadangan kepada pihak NADMA untuk dibuat penilaian.

“Kesesuaian lokasi dan ramalan keadaan atmosfera di kawasan cadangan perlu dikaji terlebih dahulu oleh MetMalaysia bagi menjamin kejayaan OPA selain bergantung kepada keadaan atmosfera yang sesuai seperti kelembapan yang tinggi, kehadiran awan kumulus dan kelajuan angin yang lemah bagi membolehkan penghasilan hujan yang tepat di kawasan sasaran,” katanya dalam satu kenyataan petang tadi.

Tambahnya, operasi itu dijalankan mulai 28 Mac sehingga 30 Mac 2024 dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Bahagian Bekalan Air Labuan setelah NADMA menerima permohonan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah.

“Pesawat C-130 Hercules milik TUDM berlepas dari Pangkalan Udara Labuan dengan membawa empat tangki air yang mengandungi campuran 800 kilogram garam dan 6,000 liter air.

“Semoga usaha bersepadu yang dilaksanakan ini boleh membantu dalam meningkatkan kapasiti air di kawasan tadahan hujan dan seterusnya menjamin bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna tanpa sebarang gangguan,” katanya lagi.

-AA-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda