Laporan/foto: Radiah Rahim/HTAA (Pahang)
KUANTAN, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan 160 set kerusi kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini semalam.
Dalam titah, Baginda menyatakan hospital ini terlalu dekat di hatinya yang merupakan tempat diputerakan pada 17 September 1995.
Tengku Mahkota Pahang bersama keluarganya pernah beberapa kali dirawat di sini dan Baginda masih ingat lagi pihak hospital melayannya dengan baik sekali.
“Saya turut ingin menasihati warga hospital dan pihak kerajaan agar menjaga hospital ini sebaik-baiknya.
“Tolong jaga pesakit dengan betul, khususnya kepada jururawat dan doktor, berikhlas-ikhlaslah apabila menjalankan tugas dan tanggungjawab tersebut, sekiranya terdapat masalah adukan kepada pihak kerajaan,” titah Baginda.
Sementara itu, seorang pesakit yang ditemui di Jabatan Kecemasan HTAA, Azizah Jamaluddin, 30, dari Kampung Kurnia beliau tidak menyangka Tengku Mahkota Pahang berada di situ dan datang duduk menyapanya ketika sedang menunggu untuk mendapatkan rawatan.
“Selama ini saya hanya melihat di kaca televisyen dan media sosial sahaja, tak sangka Tuanku berada di depan mata.
“Saya merasa amat terharu, tidak terkata dan Baginda juga tidak menolak untuk bergambar,” ujarnya.
Bagi Sabariah Abbas, 39, dari Kampung Sungai Karang, beliau amat gembira kerana dapat berjumpa dengan Tengku Mahkota Pahang dan berterima kasih atas kurniaan kerusi tersebut menunjukkan keprihatinan Tuanku kepada rakyatnya.
“Dengan adanya kerusi baharu ini pesakit dan pelawat dapat menunggu giliran dengan lebih selesa,” katanya.
-ZS-